BIOGRAFI IMAM AL-SYAHID HASAN AL-BANNA
Al-Syahid
 Hasan bin Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna rh.a. dilahirkan di bandar 
Mahmudiah (Berdekatan Iskandariah) pada tahun 1906. Beliau menamatkan 
pengajian di Sekolah Dar al-Ulum, Kaherah dan kemudian bertugas sebagai 
pengajar yang sering berpindah dari satu bandar ke satu bandar. Beliau 
mengajak umatnya supaya mengamalkan al-Quran al-Karim dan berpegang 
teguh dengan sunnah Nabi s.a.w.. Melalui usahanya ini beribu-ribu 
mahasiswa, buruh, peladang dan sebagainya daripada pelbagai lapisan 
masyarakat mendapat hidayah. Setelah itu, beliau menetap beberapa ketika
 di bandar Ismailiah. Di sini beliau menubuhkan pejabat pertama Ikhwan 
bersama-sama beberapa orang anggota ikhwan lain. Usaha beliau melangkah 
setapak lagi apabila beliau mula mengadakan sesi ceramah serta 
menyebarkan bahan cetak. Malah beliau mula mengadakan lawatan ke 
beberapa bandar dan desa. Kesannya di setiap daerah akhirnya wujud 
sebuah pusat dakwah. Dakwah beliau juga bukan terhad untuk golongan 
lelaki sahaja malah di Ismailiah beliau menubuhkan Maahad Ummahat 
al-Muslimin bertujuan memberikan didikan Islam untuk anak-anak 
perempuan. Tidak beberapa lama kemudian beliau berpindah ke Kaherah. 
Dengan perpindahan ini bermakna ibupejabat dan pusat pentadbiran juga 
berpindah ke Kaherah. Di sini dakwah beliau semakin menyerlah. Ikhwan 
semakin berkembang dan jumlah mereka kini mencecah setengah juta orang. 
Ahli politik dan kuncu-kuncu mereka mula bimbang dengan pengaruh 
al-Syahid. Oleh itu mereka berusaha menyingkirkannya dari medan politik.
 Namun segala usaha ini tidak mampu menggugatkan keazaman beliau. Beliau
 bangkit memperkenalkan Islam kepada seluruh manusia bahawa Islam 
mencakupi akidah, ibadah, tanahair, bangsa, toleransi, kuasa, akhlak, 
budaya dan undang-undang. Akhbar Ikhwan Muslimin yang diterbitkan setiap
 hari mula dilancarkan di Kaherah. Akhbar ini menjadi wahana dalam 
bentuk penulisan selain ceramah yang diadakan. Ketika krisis Palestin 
meletus, pasukan tentera Ikhwan merupakan pasukan sukarelawan yang 
paling aktif. Mereka berjaya mara hingga hampir memasuki Tel Aviv. 
Malangnya pihak pemerintah ketika itu Raja Farouq telah mengkhianati 
perjuangan ini apabila beliau menandatangani perjanjian damai dan 
bertindak menahan pemimpin-pemimpin Ikhwan. Tindakan jahat pihak 
penjajah tidak terhenti setakat itu sahaja. Mereka mula merancang untuk 
membunuh al-Banna. Ketika al-Banna berada di hadapan ibupejabat 
Pertubuhan Pemuda Islam di Kaherah mereka melepaskan beberapa das 
tembakan dan kemudian melarikan diri. Malangnya tidak siapa yang merawat
 al-Banna. Beliau dibiarkan terlantar di lantai hospital dengan keadaan 
darah yang masih mengalir. Mereka hanya menonton tanpa merasa belas 
kasihan dan berhati perut. Saudara-mara terdekat juga dilarang melawat. 
Akhirnya selepas dua jam, beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada 
tahun 1949.

 

 
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment