Thursday 31 March 2011

Hukum Rai April Fool




Pada setiap tanggal 1 April, ada sahaja orang (terutama anak-anak muda) yang merayakan hari tersebut dengan membuat pelbagai kejutan atau sesuatu aneh yang di luar jangkaan. April Fools Day, demikian orang Barat menyebut hari tanggal 1 April.
Namun, tahukah anda jika perayaan tersebut sesungguhnya berasal dari sejarah pembantaian tentera Salib terhadap kaum Muslim Sepanyol yang memang didahului dengan penipuan? Inilah sejarahnya yang disalin kembali sebahagiannya dari buku ‘Valentine Day, Natal, Happy New Year, April Mop, Halloween: So What?’ (Rizki Ridyasmara, Pustaka Alkautsar, 2005)

Sejarah April Fool
Perayaan April Fool yang selalu diakhiri dengan kegembiraan dan kepuasan itu sesungguhnya berasal dari satu tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan. The April Fool Day berasal dari satu episod sejarah Muslim Sepanyol pada tahun 1487 atau bersamaan dengan 892 H. Sebelum mengungkap tragedi tersebut, ada baiknya kita melihat sejarah Sepanyol dahulu ketika masih di bawah kekuasaan Islam.

Sejak dibebaskan Islam pada abad ke-8 M oleh Panglima Thariq bin Ziyad, Sepanyol tumbuh menjadi satu negeri yang makmur secara beransur-ansur. Pasukan Islam tidak setakat berhenti di Sepanyol, namun terus melakukan pembebasan di negeri-negeri sekitarnya menuju Perancis. Perancis Selatan dengan mudah dibebaskan. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours, dan sebagainya jatuh. Walau sangat kuat, pasukan Islam masih memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang terletak di pergunungan.

Islam telah menerangi Sepanyol. Ini kerana sikap para penguasa Islam begitu baik dan rendah hati, maka banyak orang-orang Sepanyol yang kemudian dengan tulus dan ikhlas memeluk Islam. Muslim Sepanyol bukan hanya beragama Islam, namun mereka sungguh-sungguh mengamalkan kehidupan secara Islami. Mereka tidak hanya membaca Al-Quran, tetapi juga bertingkah laku berdasarkan Al-Quran. Mereka selalu berkata untuk tidak minum khamar, bergaul bebas, dan segala macam hal yang dilarang oleh Islam. Keadaan seperti itu berlangsung hampir enam abad lamanya.

Selama itu pula kaum kafir yang masih ada di sekeliling Sepanyol tanpa kenal lelah terus berupaya membersihkan Islam dari Sepanyol, namun mereka selalu gagal. Mereka telah mencuba beberapa kali tapi selalu tidak berhasil. Dikirimlah sejumlah perisik untuk mempelajari kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik itu menemukan cara untuk menaklukkan Islam di Sepanyol, yakni yang pertama adalah harus melemahkan iman mereka dahulu dengan jalan serangan pemikiran dan budaya.

Maka mulailah secara diam-diam mereka mengirim alkohol dan rokok secara percuma ke dalam wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk membujuk kaum mudanya agar lebih suka bernyanyi dan menari berbanding membaca Al-Quran. Mereka juga mengirim sejumlah ulama palsu yang kerjanya adalah untuk menyemarakkan perpecahan di dalam tubuh umat Islam Sepanyol. Lama-kelamaan upaya ini membuahkan hasil.

Akhirnya Sepanyol jatuh dan berjaya dikuasai pasukan Salib. Penyerangan oleh pasukan Salib benar-benar dilakukan dengan kejam tanpa mengenal peri kemanusiaan. Tidak hanya pasukan Islam yang dibantai, tetapi juga rakyat biasa, wanita, anak-anak kecil, orang-orang tua, semuanya dibantai dengan sadis dan kejam.

Satu persatu daerah di Sepanyol ditakluki. Granada adalah daerah terakhir yang ditaklukkan. Penduduk Islam di Sepanyol (juga disebut orang Moor) terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera Kristian terus mengejar mereka.

Ketika jalan-jalan mulai sepi, yang tinggal adalah ribuan mayat yang bergelimpangan dan bermandikan aliran darah. Tentera Salib mengetahui bahawa banyak Muslim Granada yang masih bersembunyi di rumah-rumah. Dengan lantang tentera Salib itu meneriakkan pengumuman, bahawa para Muslim Granada boleh keluar dari rumah dengan aman dan dibenarkan berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang-barang keperluan mereka. Kapal-kapal yang akan membawa kalian keluar dari Sepanyol sudah kami persiapkan di pelabuhan. Kami menjamin keselamatan kalian jika ingin keluar dari Sepanyol, setelah ini maka kami tidak lagi memberikan jaminan demikian bujuk tentera Salib.

Orang-orang Islam masih curiga dengan tawaran ini. Beberapa dari orang Islam dibenarkan melihat sendiri kapal-kapal penumpang yang sudah dipersiapkan di pelabuhan. Setelah benar-benar melihat ada kapal yang sudah dipersiapkan, maka mereka segera bersiap untuk meninggalkan Granada bersama-sama menuju ke kapal-kapal tersebut. Mereka pun bersiap untuk berlayar.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Muslim Granada yang keluar dari rumah-rumahnya dengan membawa seluruh barang-barang keperluannya beriringan jalan menuju pelabuhan. Beberapa orang Islam yang tidak mempercayai tentera Salib bertahan dan terus bersembunyi di rumah-rumahnya. Setelah ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan cepat tentera Salib menggeledah rumah-rumah yang telah ditinggalkan penghuninya. Lidah api terlihat menjilat-jilat angkasa ketika para tentera Salib itu membakar rumah-rumah tersebut bersama orang-orang Islam yang masih bertahan di dalamnya.

Manakala ribuan umat Islam yang berada di pelabuhan berasa terkejut ketika tentera Salib juga membakar kapal-kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar dari Sepanyol. Kapal-kapal itu dengan cepat tenggelam. Ribuan umat Islam tidak boleh berbuat apa-apa kerana sama sekali tidak bersenjata. Mereka juga kebanyakan terdiri dari para perempuan dan anak-anak yang masih kecil. Lalu tentera Salib segera mengepung mereka dengan pedang yang terhunus.

Dengan satu teriakan dari pemimpinnya, ribuan tentera Salib itu segera membunuh umat Islam Sepanyol tanpa perasaan belas kasihan. Jerit tangis dan takbir membahana. Dengan buas tentera Salib terus membunuh orang awam yang sama sekali tidak berdaya.

Seluruh Muslim Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejam. Darah menggenang di mana-mana. Laut yang biru telah berubah menjadi merah kehitam-hitaman. Tragedi ini bertepatan dengan tanggal 1 April. Inilah yang kemudian diperingati oleh dunia Kristian pada setiap tanggal 1 April sebagai The Aprils Fool Day.

Bagi umat Islam April Fool tentu merupakan tragedi yang sangat menyedihkan. Hari dimana ribuan saudara seimannya disembelih dan dibantai oleh tentera Salib di Granada, Sepanyol. Sebab itu, adalah sangat tidak layak jika ada orang Islam yang ikut-ikutan merayakan tradisi ini. Sebab dengan merayakan April Fool, sesungguhnya orang-orang Islam itu ikut bergembira dan tertawa atas tragedi tersebut. Siapa pun orang Islam yang turut merayakan April Fool, maka ia sesungguhnya tengah merayakan ulang tahun pembunuhan beramai-ramai terhadap ribuan saudara-saudaranya di Granada, Sepanyol, beberapa abad silam.

April Fool Merupakan Perayaan Pembantaian Umat Islam, Tidak Layak Dirayakan
Umat Islam sangat tidak boleh merayakan “The April Fool Day” kerana kebiasaan itu didasarkan untuk memperingati peristiwa pembantaian umat Islam di Sepanyol pada 1 April 1487 Masihi.
Ir.H.Asmara Dharma, seorang cendekiawan muslim dari Indonesia menulis di dalam tulisannya; Ramai Umat Islam  yang merayakan April Fool tanpa mengetahui dasar dan asal muasal peristiwa tersebut.
Ia menjelaskan, perayaan April Fool itu didasarkan atas peristiwa penyerangan besar-besaran oleh tentera Salib terhadap negara Sepanyol yang ketika itu di bawah kekuasaan kekhalifahan Islam pada Mac 1487 Masihi.

Kota-kota Islam di Sepanyol seperti Zaragoza dan Leon di wilayah Utara, Vigo dan Forto di wilayah Timur, Valencia di wilayah Barat, Lisbon dan Cordoba di Selatan serta Madrid di pusat kota dan Granada sebagai kota pelabuhan berjaya dikuasai tentera Salib.

Umat Islam yang tersisa dari peperangan itu dijanjikan kebebasan jika meninggalkan Sepanyol dengan kapal yang disiapkan di pelabuhan Granada. Tentera Salib itu menjanjikan keselamatan dan membolehkan umat Islam menaiki kapal jika mereka meninggalkan Sepanyol dan tidak membawa sebarang persenjataan mereka.

Namun, ketika ribuan umat Islam sudah berkumpul di pelabuhan, kapal yang tadinya berlabuh di pelabuhan segera dibakar dan kaum muslim dibantai dengan kejam sehingga air laut menjadi merah kerana darah.

Peristiwa pembantaian dan pengingkaran janji tersebut terjadi pada 1 April 1487 Masehi dan dikenang sebagai “The April Fool Day.”

Selanjutnya, Dharma menjelaskan, peristiwa The April Fool Day itu dipopularkan dengan ritual yang mempersendakan, menipu dan memperbodohkan orang lain tetapi bernuansa gembira.
“Ritual tersebut disyaratkan agar orang-orang yang dipersendakan tidak boleh berasa marah atau membalas” katanya.

Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran kisah ini, tetapi kalau melihatkan kepada fatwa berikut ternyata ada kaitan sambutannya dengan hukum serta sejarah.

 
Fatwa-fatwa ke atas April Fool
Dr. Yusuf al-Qaradawi hafizahullah menyebutkan:
Menipu adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu petanda kemunafikan. Ini kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: Orang munafik mempunyai tiga ciri: Dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah. [HR al-Bukhari dan Muslim]

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam memberikan amaran ke atas perbuatan menipu dengan tujuan menghiburkan manusia. Baginda sallallahu alaihi wassalam bersabda: “Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.” [HR Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasai’e]

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam juga bersabda: “Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat walaupun dia membawa kebenaran”. [HR Ahmad dan At-Thabrani]. Sebahagian hadis Nabi sallallahu alaihi wassalam turut memberikan amaran ke atas umat Islam daripada menakutkan orang lain sama ada secara serius mahupun bergurau. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: “Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim.” [HR Abu Daud]

Oleh kerana itu, menipu adalah dilarang di dalam apa bentukpun. Sambutan ini (hari April Fool) adalah dilarang kerana empat sebab:
1. Larangan menipu yang sudah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
2. Kesedihan dan ketakutan yang tidak berasas (yang disebabkan penipuan itu) yang mungkin boleh menimpa seseorang mahupun kesemua ahli keluarganya walaupun hanya untuk satu jam.
3. Pengkhianatan ke atas kepercayaan yang diberikan.
4. Meniru budaya buruk yang bukan milik kita, iaitu penipuan.

Shaikh Atiyyah Saqr pula menyatakan:
Adalah menjadi kesepakatan kesemua agama dan akal yang waras bahawa kejujuran itu satu kebaikan, dan penipuan adalah lawannya. Untuk menyatakan kebenaran, kata-katamu hendaklah menerangkan realiti, sedangkan untuk menyatakan penipuan adalah dengan menyampaikan apa yang bercanggah dengan apa yang kamu katakan mahupun lakukan. Seburuk-buruk pendustaan adalah sumpah yang palsu, bahkan itu adalah satu bentuk kemunafikan.

Penipuan adalah dilarang kecuali ia dilakukan dalam keadaan dharurat. Di dalam kes tersebut, kaedah “dharurat menjadikan yang haram harus” digunakan. Dharurat hanya boleh diambil apabila tiada pilihan lain. Salah satu bentuk penipuan yang dibenarkan ialah apa yang kita panggil sebagai helah, iaitu menggunakan perkataan yang membawa lebih daripada satu maksud. Umat Islam mungkin boleh mengambil pemahaman yang positif daripada penafsiran perkataan (yang mempunyai dua makna) tersebut.

Diriwayatkan bahawa penipuan dibenarkan untuk memberikan manfaat, bukan untuk melakukan kerosakan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: “Seseorang yang mendamaikan di antara dua insan dan berkata perkara yang baik, walaupun ia tidak benar, bukanlah seorang penipu.” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Ummu Kalsum binti ‘Uqbah turut berkata, di dalam tambahan lafaz ke atas hadis itu, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam membenarkan menipu kecuali di dalam tiga situasi; ketika perang, untuk mendamaikan di antara dua pihak yang bertelagah, dan perbualan biasa antara suami isteri.” Apa yang dimaksudkan dengan perbualan biasa antara suami isteri ialah untuk meredakan kesusahan di dalam kehidupan. [Islamonline]
Di dalam laman islamqa.com fatwa nombor: 10834

Shaikh Shalih Fauzan menyatakan:
Penipuan adalah tidak dibenarkan langsung, pada bila-bila masa sahaja. Bahkan adalah tidak dibenarkan untuk meniru orang kafir dan menjadi seperti mereka, sama ada pada hari ini (hari April Fool), mahupun pada hari-hari yang lain. Ini kerana Rasulullah sallallahu alaihi wassalam bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.”
Berdasarkan fatwa-fatwa di atas, kita akan mendapati bahawa budaya April Fool jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umat Islam sentiasa bersifat jujur.

Monday 28 March 2011

Cerita gengster Melayu Singapura



"Pemuda ini, Mahathir Dawood, masih muda. Umurnya baru sahaja mencecah 24 tahun.

Berpewatakan menarik dan petah bercakap, beberapa potong hadis dan sirah Nabi yang dilafazkan tatkala menyertai sesi perkongsian pengalaman pada petang itu secara tidak langsung menonjolkan karakter warak lelaki ini.

"Jangan puji lebih-lebih. Saya masih baru mengenal Islam walaupun dilahirkan sebagai Muslim. Banyak lagi yang perlu dipelajari," ujarnya.

Ditemui selepas sesi kaunseling bersama remaja terlanjur di rumah perlindungan Baitul Fiqh di Subang Jaya, Selangor, Mahathir tidak lokek berkongsi sisi jahil kehidupannya.

"Saya mula kenal Allah semasa berumur 16 tahun, itu pun kerana saya berjumpa dengan orang yang selalu ajak saya sembahyang ketika direman.

"Kalau saya jumpa dengan orang yang salah lagi, mungkin sekarang saya masih sesat," katanya yang pernah dipenjarakan selama dua tahun angkara terlibat dalam rusuhan antara dua kumpulan gengster di Singapura.

Menurut Mahathir, dia terlibat dalam kumpulan Sio Kun Tong atau Salakau. Kumpulan itu juga dikenali dengan kod 369.

Ia bermula selepas Mahathir mengikut ibunya yang telah berpisah dengan bapanya berpindah ke Marsling, Singapura.

"Marsling adalah salah satu kawasan gelap di Singapura. Di situ pusat berkumpulnya penagih dadah, ahli kongsi gelap, pelacur, penyeludup, pencuri, kaki ponteng sekolah dan kaki judi, semua ada.

"Kesibukan ibu bekerja pula membuatkan saya lebih suka mencari hiburan di luar bersama kawan-kawan.

"Kami melepak, mencuri telefon bimbit dan menjualnya semula, menjadi penyeluk saku dan macam-macam lagi," kata Mahathir yang mula merokok dan menjadi ahli Salakau ketika berumur 12 tahun.

Jelas anak kedua daripada lima beradik ini, terdapat banyak kumpulan gengster di negara jiran tersebut.

Di kawasan tempat tinggalnya sahaja, ada beberapa kumpulan samseng dengan jumlah ahli melebihi 200 orang. Kumpulan samseng itu kerap bergaduh sesama sendiri.

Rebut perempuan

"Biasanya mereka bergaduh kerana tidak puas hati, mahu tunjuk kuat, luaskan pengaruh serta kawasan dan berebut perempuan," katanya.

Tidak serik bergaduh dan menjadi mangsa pukul?

"Hati saya sudah keras selepas sering terlibat dalam pergaduhan.

"Lagipun, saya cuma ada dua pilihan, sama ada memukul atau dipukul. Apabila sekali kena pukul, saya tidak akan lepaskan peluang untuk memukul orang lain pula.

"Memukul samseng dari kumpulan lain adalah cara terbaik untuk saya menarik perhatian dan keyakinan ketua," tuturnya.

Selain menjadi kaki pukul, dadah, rokok, arak dan perempuan adalah jamuan harian Mahathir.

"Saya memang tonggak tin arak macam air masak. Saya juga ada ambil ganja dan pil tidur.

"Semasa berumur 15 tahun pula, saya ditugaskan oleh taiko (ketua samseng) untuk menjaga keselamatan pelacur dan buat rundingan harga dengan pelanggan.

"Jika pelanggan enggan bayar, saya diberi tanggungjawab untuk memukul mereka," katanya.

Momen gelap kehidupan anak muda ini berakhir selepas buat kali pertama dia dimasukkan ke penjara setelah tiga tahun bergelar samseng.

Semasa menjadi tahanan reman, dia berkenalan dengan seorang tahanan lain bernama Ramo. Lelaki itu berjaya melembutkan hatinya untuk mempelajari Islam dan bersolat.

"Ramo banyak beri bimbingan dan nasihat kepada saya. Namun, perubahan itu tidak lama.

"Selepas didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun, saya terpisah dengan Ramo.

"Di penjara, saya kembali kepada tabiat lama. Solat saya abaikan.

"Bagaimanapun, selepas berkenalan dengan seorang banduan bernama Khairul Fahmi, perasaan takut kepada Allah seolah-olah ditiup kembali.

"Fahmi pernah bunuh orang dan dijatuhi hukuman penjara. Rakannya pula dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

"Terlepas daripada hukuman gantung sangat menginsafkannya. Ia seperti mati hidup semula. Fahmi menjadi rakan banduan yang rajin mengajak saya solat bersama dan mendalami agama," cerita Mahathir.

Apabila difikirkan semula, lelaki ini amat bersyukur kerana sempat kembali ke landasan kehidupan yang sepatutnya.

Benarlah katanya, walaupun majoriti masyarakat memandang rendah institusi penjara, lain pula bagi Mahathir.

Jihad

Padanya, di sebalik tembok dan jeriji besi itulah dia mengenali serta memahami Islam yang kini menjadi pegangan hidupnya.

"Di bilik pengasingan itu saya dapat mengubah diri daripada hamba dunia kepada Muslim yang dahagakan ilmu akhirat," ujarnya yang sempat mengumpulkan tahanan beragama Islam dan membentuk satu kumpulan jihad menentang kezaliman Israel ketika di penjara.

Dua tahun menjalani hukuman, perubahan positif Mahathir kurang disenangi ibu dan adik-beradikya. Tindakan Mahathir menegur cara hidup mereka yang selama ini kebaratan hanya menimbulkan kemarahan.

"Ibu tidak suka jika saya menasihatinya untuk bersolat dan menutup aurat. Adik-beradik yang lain pula menempelak dan memaki hamun.

"Katanya, bekas banduan yang pura-pura alim seperti saya tidak layak untuk menasihati mereka.

"Saya ambil masa dua tahun untuk pujuk mereka. Lama-kelamaan, mereka menerima saya kembali dan beransur-ansur mendalami Islam.

"Malah, adik saya yang paling kuat menentang kini sedang tekun mempelajari al-Quran.

"Syukur, Allah memakbulkan doa saya. Saya cukup takut jika ada ahli keluarga yang meninggal dunia dalam keadaan yang tidak diredai Allah," ujarnya sebak.

Penghijrahan Mahathir kali ini bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Sebaliknya, dia berazam untuk mendekatkan dirinya sekarib mungkin dengan al-Quran, bahkan dalam telefon pintar miliknya, hanya rakaman surah-surah al-Quran yang disimpan.

"Saya haramkan telinga saya untuk mendengar muzik. Begitu juga mata.

"Sangat sedikit rancangan di televisyen yang saya tonton," katanya yang kini mendalami bahasa Arab dan kefahaman Islam di Kolej Islam Mahmoodiah, Singapura.

Sumber : kosmo

Saturday 26 March 2011

Bumi berubah


Gempa Jepun ubah landskap, diramal cetus Zaman Ais baru

BELUM pun igauan ngeri tsunami yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004 terhapus sepenuhnya, kita dikejutkan sekali lagi kehadiran bencana yang melumpuhkan Jepun dalam sekelip mata, minggu lalu.
Bermula dengan gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter jam 2.46 petang waktu tempatan, tsunami pula menyerang dengan kelajuan kira-kira 800 kilometer sejam dengan ketinggian ombak mencecah 10 meter. Malah ketika rencana ini ditulis, selain berdepan ancaman gempa susulan, Jepun turut dihimpit krisis mengawal kebocoran radiasinya apabila tahapnya 10 kali ganda lebih tinggi daripada biasa, berikutan impak gempa bumi kategori mega itu. Lebih menyayat hati, harapan menemui mangsa yang terselamat terus pudar dengan angka korban dan mereka yang hilang, lebih 12,000 orang.
Namun, hakikatnya, gempa bumi terbesar di Jepun dan kelima terbesar dalam sejarah dunia itu bukan hanya menambah fakta mengenai bencana tetapi turut mengubah landskap dan perjalanan bumi ini.

Di Jepun saja, gempa itu menyebabkan Kepulauan Honshu, yang juga bahagian paling besar di negara itu, berganjak sehingga 2.4 meter.

Tidak cukup itu, paksi bumi pula menyendeng 25 sentimeter dan mempercepatkan kadar putaran bumi lebih sejuta mikro saat.

Perubahan lain termasuk sejumlah kerak bumi jatuh menjunam ke dalam retakan atau rekahan sepanjang 402 kilometer yang membuka jurang seluas 9.6 kilometer di bawah Lautan Pasifik. Impak ini seperti diakui saintis Itali dan Amerika Syarikat sebagai lebih besar berbanding gempa bumi yang melanda Sumatera, sebelum ini.
Pakar fizik di City College of New York di Amerika Syarikat, Michio Kaku, pula melontarkan andaian kemungkinan gempa kuat yang mengubah paksi bumi boleh menjadi punca berlakunya Zaman Ais.

“Impak gempa bumi 9.0 dalam kategori mega itu turut menyebabkan pengagihan semula sejumlah besar kerak bumi, memendekkan hari, selain mengubah paksi bumi dan mempercepatkan pusingan.

“Namun, ketika kepantasan putaran bumi dijangka tidak memberi kesan jangka sederhana atau panjang, perubahan paksi mungkin ada impaknya, termasuk menjadi punca pembentukan Zaman Ais.

“Masih ada perdebatan saintifik mengenai apa yang menyebabkan zaman itu tetapi teori utama ialah gangguan kecil pada paksi bumi ketika ia mengelilingi matahari. Perubahan kecil ini yang menggoyangkan paksi dan mungkin menyebabkan Zaman Ais,” kata Kaku yang dipetik media antarabangsa, baru-baru ini.

Zaman Ais atau tempoh glasier ini berlaku secara tidak tetap sejak lebih dua bilion tahun. Pada zaman Ais, lapisan ais terbentuk di sebahagian besar benua atau muka bumi ini dan biarpun punca sebenar perubahan dunia itu tidak diketahui, ada saintis yang mengaitkannya dengan perubahan putaran bumi.

Selain itu, pakar geofizik Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), Richard Goss, pula berkata, perubahan yang menyebabkan putaran bumi pada kadar 1.8 juta setiap saat atau 1.8 mikrosaat, adalah satu isu kekal yang perlu dihadapi manusia sejagat.

Saintis Britain, Bethan Harris, sebaliknya menyifatkan impak itu sememangnya ada tetapi amat minimum.

“Ia kedengaran banyak tetapi kecil berbanding saiz bumi. Perubahan satu darjah paksi bumi bermakna ia bergerak kira-kira 110 kilometer.

“Bagaimanapun, ia tidak berhenti di situ. Bentuk muka bumi Jepun bergerak sebanyak empat meter. Selepas gempa bumi itu, berkemungkinan hari yang kita lalui 1.8 juta sesaat lebih pendek disebabkan perubahan itu.

“Kita dapat melihat perubahan itu dalam purata panjang hari disebabkan perubahan lain di bumi dan atmosfera,” katanya.

Seorang lagi pakar geofizik Barat, Richard Gross, pula berkata paksi Bumi tidak sama dengan paksi utara-selatan di ruang angkasa yang berputar sekali sehari pada kelajuan kira-kira 1,604 kilometer sejam.

Hakikatnya, ini bukan kali pertama gempa bumi besar mengubah tempoh sehari bumi iaitu 24 jam. Malah ia semakin pendek disebabkan gegaran kuat sebelum ini. Buktinya, gempa bumi berukuran 8.8 pada skala Richter di Chile tahun lalu turut meningkatkan putaran bumi dan memendekkan hari kepada 1.26 mikrosaat manakala gempa bumi 9.1 pada skala Richter di Sumatera pada tahun 2004 memendekkan hari kepada 6.8 mikrosaat.

Apa yang membimbangkan, ada kalangan saintis ini turut mendakwa impak gempa bumi di Jepun itu mungkin belum lengkap sepenuhnya kerana gegaran susulan yang lemah turut berupaya mengubah panjang hari. Sekurang-kurangnya 20 gegaran susulan berukuran antara 6.0 pada skala Richter atau lebih dilaporkan berlaku.

Pakar gempa bumi Tinjauan Geologikal Amerika Syarikat, Dr Daniel McNamara, juga memberi amaran gegaran itu menenggelamkan paras bentuk muka bumi Jepun dan menjadikan sebahagian negara itu kekal di bawah paras laut.

Lima bandar zon gempa

Gempa bumi Jepun minggu lalu turut mendedahkan risiko yang boleh dialami bandar berpenduduk padat terutama di kawasan berisiko tinggi seperti di sepanjang garisan gelinciran.

Berikut lima bandar raya paling berisiko dilanda musibah dahsyat disebabkan kedudukannya yang mana tiga daripadanya di Amerika Syarikat.


  • Tokyo, Jepun
    Wujud betul-betul di persimpangan tiga plat tektonik iatu Plat Amerika Utara, Plat Filipina dan Plat Pasifik. Sejarah panjang ibu negara Jepun itu dan biasa dilanda gempa bumi mendorong bandar raya berkenaan membina perlindungan tektonik ke paras maksimum. Ia juga dikatakan bandar raya paling bersedia di dunia untuk berdepan musibah gempa bumi.

  • Istanbul, Turki
    Gelinciran Anatolian Utara adalah terpanjang di dunia tetapi bandar raya yang menempatkan prasarana lama dan moden itu mendedahkan 13 juta penduduknya dalam risiko tinggi.

    Gegaran berukuran 7.4 pada skala Richter yang melanda Izmit, 101 kilometer dari Istanbul pada 1999 menjadikan bangunan abad ke-20 yang selalunya dibina dengan konkrit bercampur air masin selain tidak menghiraukan kod bangunan, rebah menyembah bumi yang meragut kira-kira 18,000 nyawa.

  • Seattle, Amerika Syarikat
    Berdepan ancaman gempa bumi besar dan letusan gunung berapi Rainier. Ia terletak di atas sempadan tektonik aktif di sepanjang Plat Amerika Utara, Plat Pasifik dan Plat Juan de Fuca. Pemandangan menakjubkan Gunung Rainier sekadar memberi peringatan yang ia adalah gunung berapi ‘tidur’ atau senyap yang boleh mengatasi Gunung St Helen pada bila-bila masa.

  • Los Angeles, Amerika Syarikat
    Sejak lebih 700 tahun lalu, gempa bumi kuat melanda wilayah berkenaan setiap 45 hingga 144 tahun. Gempa bumi besar terakhir berukuran 7.9 pada skala Richter berlaku 153 tahun lalu. Dalam erti kata lain, Los Angeles cuma menanti masa untuk digegarkan dengan satu lagi gempa besar. Gempa bumi seterusnya akan memberi impak buruk, termasuk memberi kesan kepada keseluruhan California Selatan yang didiami penduduk sekitar 37 juta. Bencana alam besar boleh membunuh antara 2,000 dan 50,000 penduduk dan menyebabkan kemusnahan bernilai berbilion dolar.

  • San Francisco, Amerika
    Mempunyai cuma 800,000 penduduk, San Francisco ialah satu lagi bandar raya besar di sepanjang pantai barat Amerika Syarikat yang boleh musnah akibat gempa bumi dan tsunami besar. Ia terletak berhampiran bahagian utara Gelinciran San Andreas. Ada beberapa gelinciran kecil yang terletak di seluruh bandar raya itu, meningkatkan kemungkinan gempa bumi dahsyat akan berlaku.

    INFO: Definisi

  • Gempa bumi: Fenomena gegaran bumi yang berlaku akibat gerakan bumi yang mengalami gelinciran di garis sesaran bumi ataupun disebabkan oleh aktiviti gunung berapi.

  • Tsunami: Perkataan Jepun bermaksud ‘ombak pelabuhan.’ Ia adalah satu fenomena ombak besar yang melanda pantai disebabkan kejadian gempa bumi di dasar laut. Aktiviti di dasar laut seperti tanah runtuh, ledakan gunung berapi, letupan serta hentaman bahan kosmik seperti meteorit juga boleh menghasilkan tsunami. 

  •  

  • Oleh Hazirah Che Sab
    zeehan@bharian.com.my
    2011/03/20

    Friday 25 March 2011

    Gaya Belajar anda


    99% apa yang kita pelajari datang daripada deria, iatu deria penglihatan, pendengaran hidu&rasa dan sentuh. Setiap orang mempunyai gaya belajar yang berbeza. Berikut ialah tiga jenis gaya pembelajaran dan penjelasan setiap satunya.

    gaya pembelajaran visual:
    perlu melihat atau menggunakan deria mata untuk memahami sesuatu maklumat
    ciri-ciri pelajar:
    1. sukar untuk ingati nama tetapi mungkin ingati rupa
    2. cenderung untuk menulis atau membut nota tangan sendiri semasa proses pembelajaran di dalam kelas.
    3. menghadapi kesukaran untuk mengingati arah jalan jika diterangkan secara lisan.
    cara belajar yg sesuai:
    1.penyusunan grafik, gambar, graf dan peta minda

    gaya pembelajaran auditori:
    pelajar ini menyukai&berasa selesa belajar atau menerima maklumat dengan mendengar syarahan, perbincangan dan juga diberi peluang untuk bercakap.
    ciri-ciri pelajar:
    1. dpt ingati nama lebih drpda ingati rupa paras
    2. lebih ska berbincang drpda membaca.
    3. mudah terngangu dengan bunyi
    cara belajar yang sesuai:
    berbincang, mendengar, bercakap dan berkumpulan

    gaya pembelajaran kinetik:
    pelajar ini memerlukan aktiviti yg bergerak&mereka jga model yg di pegang dan disentuh (hands on)
    2. perlu membuat latihan amali dlm usaha untk memahami apa3 yg dipelajari secara teori.
    ciri-ciri pelajar:
    1.lebih mudah ingat benda yg dilakukan drpda apa yg dilihat atau dengar
    2. lebih gemar menyertai aktiviti berbanding melihat
    3. gemarkan simulasi, drama dan aktiviti luar
    cara belajar yang sesuai:
    simulasi, model, aktiviti luar dan pembelajaran aktif.

    dipetik daripada buku pembelajaran & perkembangan pelajar