Laylatul  Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat  istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari  surah al-Qadr . Firman Allah SWT : 
Ertinya : "Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan"  (Al-Qadr : 2) . 
Di  Malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi  malam-malam Ramadhan yang lain.  Disebutkan di dalam sebuah hadith :- 
Ertinya  : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di  sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam  yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175 )
Sebuah lagi hadis menyebut :- 
انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها
Ertinya : "Adalah  Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya  (malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim) 
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره 
Ertinya  : " Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi  menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak  menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" (  Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 
Waktunya 
Para  ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh  malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat  manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada  disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.  
 Iaitu  seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk,  matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia  semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih. 
 Bagaimanapun  tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar  telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat  kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti  esoknya.
 Malah,  tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca  sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara barat contohnya mungkin  sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala  di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar  tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?. 
 Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu. 
 Menurut  pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada  sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil. 
 Hadith Nabi menyebut:- 
 التمسوها في العشر الأواخر من رمضان 
 Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim) 
 Bagaimanapun,  kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu JIKA  negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan  negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan  Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama.  Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja.  Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam.
Tarikhnya Berubah atau Tetap Setiap Tahun?
 Sebahagian  ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam  27 Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie  pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal  pada satu tarikh (Al-Majmu' 6/450). 
 Selain  dari itu, berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar  adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29  Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:- 
 أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر 
 Ertinya  : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam  terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam  terakhir" ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim) 
 Dari  tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling  diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamany di negara Arab) dan ia  juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam,  sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia  adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana  beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada  tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith  yang menyebut:- 
 ليلة القدر ليلة سبع وعشرين 
 Ertinya : "Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh" (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )
 Doa Terpenting Semasa Lailatul Qadar 
 Allah  s.w.t pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa  puncak kemakbulan doa. Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana  dinyatakan dalam firmanNya :-
 فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ
 Ertinya  : Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah  kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang  menyenangkan) di akhirat ( Al-Baqarah : 200 ) 
 Jelas dalam ayat ini Allah s.w.t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.
 Lalu  Allah s.w.t mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang  merangkumi kebaikan dunia dan akhirat..dan dilebihkan 'portion' atau  bahagian akhirat apabila di tambah "selamatkan dari api neraka". Beerti  doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.
 Lihat doa yang diingini Allah s.w.t :-
 وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
 Ertinya  : "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah  kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami  dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )
 Di  malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan  keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w  kepada Aisyah r.a :-
 وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني 
 Ertinya  : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu  Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : "  Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat  suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan" 
 Mestikah Mendapat Tanda ? 
 Sabda Nabi SAW : 
 من يقم ليلة القدر فيوافقها.. 
 Ertinya : Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya..." ( Riwayat Muslim) 
 Hadiith  ini menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang  mendapat keberkatan malam al-qadar mestilah mengetahui berdasarkan  hadith di atas. 
 Bagaimanapun,  pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat  kebaikannya, samada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa  menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki  dan kelebihan oleh  Allah untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda  menarik dan mungkin pelik dan sebagainya. 
 Tidak  perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air,  kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah  akan memberikan tandanya menurut kehendakNya.
 Masa Berkat Berpanjangan atau Hanya Beberapa Saat?
 Saya  masih ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak, tersebar info  kepada kebanyakkan saya dan rakan-rakan ketika itu adalah : 
 waktu maqbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas maka saatnya rugilah sepanjang hayat. 
 Rupanya,  ia hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak diketahui tujuan  mereka. Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang  malam, ia telah disebutkan oleh Allah dengan jelas iaitu :-
 سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
 Ertinya : Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5 )
 Inilah yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami' Li  Ahkam al-Quran, 20/134 )
 Wanita Haid Terhalang Dari Berkatnya ?
 Adakah  wanita sedang haid terhalang dari keberkatan lailatul Qadar?. Sudah  tentu jawabnya tidak, Allah s.w.t maha adil. Bagi wanita sedang uzur  pelbagai amalan dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti :-
 -  1) Berzikir
-  2) Berdoa
-  3) Membawa terjemahan Al-Quran serta memahaminya.
-  4) Mendengar bacaan Al-Quran oleh suaminya, adik beradik atau dari kaset.
Sebahagian  ulama silam dan moden seperti Syeikh Prof. Dr Muhammad Abu Laylah (  Prof Syariah di Univ Al-Azhar) berpendapat mereka dibenarkan juga  membaca al-Quran tanpa memegangnya  (melalui hafazan), malah sebahagian  yang lain seperti Fatwa Ulama Saudi pula membenarkan mereka membacanya  melalui mashaf. Saya tidak ingin membincangkannya di sini. Sekadar  memberikan idea dan keterbukaan di kalangan para ulama.
 Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut. 
 

 
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment