9 ZULHIJJAH TAHUN 10 HIJRAH, DI LEMBAH URANAH, GUNUNG 'ARAFAH
"Wahai
 manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan !!! Aku tidak 
mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun
 ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah 
ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai
 manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai 
suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah 
suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya 
yang berhak.
Janganlah
 kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. 
Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti 
akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah 
mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' 
hendaklah dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah 
terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa 
untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah 
supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai
 manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka 
juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas
 kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam 
suasana kasih sayang.
Layanilah
 wanita-wanita kamu dengan baik! dan berlemah lembutlah terhadap mereka 
kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. 
Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh 
memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang 
melakukan zina.
Wahai
 manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah,
 dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, 
tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji 
sekiranya mampu.
Ketahuilah
 bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua
 adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya 
kecuali dalam taqwa dan amal soleh.
Ingatlah
 bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk 
dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu,
 awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari
 landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai
 manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan 
tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan 
betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya
 aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang 
teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat 
selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah
 orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada 
orang lain dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada
 orang lain dan begitu seterusnya.
Semoga
 orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini 
dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah Ya Allah, 
bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba- Mu. "
Sumber di sini 
 









 
 
 
 
 
 
